ASTRO Buka Saluran Khas RAYA HD Sepanjang Bulan Syawal

1:30:00 PM
Menyedari kepentingan menerapkan budaya saling bermaaf-maafan dan melakukan sesuatu perkara dengan penuh keikhlasan tanpa mengharapkan sebarang balasan, Astro memanfaatkan keterujaan menyambut bulan mulia ini dengan mengangkat tema ‘Dari Hati’ bagi menggerakkan ‘Kempen Kosong-Kosong’ untuk sambutan Ramadan dan Syawal tahun ini.

Himpunan lebih 260 pengisian istimewa raya termasuk 131 buah program baru telah diselaraskan merangkumi kandungan eksklusif di ruang digital, televisyen, radio dan acara lapangan bagi menyemarakkan lagi sambutan Aidilfitri kali ini.

Bergerak seiring dengan perkembangan trend digital secara global, variasi himpunan kandungan istimewa raya yang disajikan turut boleh diakses menerusi platform digital dan perkhidmatan kandungan over-the-top atau ‘OTT’ termasuklah aplikasi Astro GO dan NJOI Now, portal Astro Gempak dan Rojak Daily, on demand serta banyak lagi bagi memberi pilihan yang fleksibel kepada para pelanggan.


ASTRO Buka Saluran Khas RAYA HD Sepanjang Bulan Syawal


Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Dato’ Khairul Anwar Salleh berkata, “Kemajuan teknologi yang pesat masa kini telah merangsang revolusi dunia penyiaran dan dunia dalam talian yang berpotensi membawa pembaharuan kepada landskap industri kandungan alaf baharu yang bersifat digital.

Justeru, Astro harus bersedia menangani cabaran dan lebih proaktif dalam melaksanakan pembaharuan untuk meraih manfaat kesan daripada trend global yang berubah-ubah agar tidak ketinggalan sekaligus kekal relevan di mata para pelanggan."

Tampil dengan kelainan baharu untuk sambutan hari lebaran tahun ini, Astro dengan berbesar hati membawakan sebuah saluran khas RAYA HD (122) yang boleh dinikmati secara percuma selama sebulan oleh semua pelanggan Astro dan NJOI bermula 24 Jun hingga 24 Julai 2017.

Saluran khas RAYA HD bakal menyajikan seleksi program raya terbaik yang disusun berselang-seli tanpa henti merangkumi pelbagai genre berbeza termasuklah program hiburan dan muzikal, barisan drama dan telefilem terhebat yang menampilkan nama-nama popular tanah air, program berunsur lawak dan komedi, koleksi filem-filem terlaris tempatan dan antarabangsa dari era kegemilangan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sehinggalah yang terkini selain filem-filem Bollywood, dan Hollywood.

Meneruskan kesinambungan tradisi saban tahun, Astro turut mempersembahkan secara eksklusif sebuah iklan komersial televisyen bersempena dengan hari raya yang memaparkan kisah benar Adli, seorang bapa yang dikurniakan anak istimewa autisme bernama Luqman. Iklan ini mengupas tentang kecekalan dan pengorbanan beliau untuk membesarkan amanah yang diberi. Demi kasih beliau kepada Luqman, Adli menubuhkan sebuah ‘Cafe Autism’ yang turut memberi sinar baru kepada ibu bapa yang mempunyai anak autistik untuk mendapatkan latihan vokasional di situ. Uniknya lagi, iklan komersial ini turut menampilkan Adli dan Luqman sendiri yang melakonkan semula kisah mereka dengan menggunakan laras bahasa sendiri.

Dato’ Khairul Anwar Salleh turut mengulas, “Sewaktu Kempen Kosong-Kosong Dari Hati mula dilancarkan pada awal Ramadan lalu, kami telah menerima banyak komen dan bingkisan peribadi yang dihantar oleh rakyat Malaysia ke pelbagai laman sosial termasuklah laman sesawang rasmi Astro. Lebih bermakna lagi, pihak Astro sendiri turut turun padang untuk membuat tinjauan dan menemubual orang ramai, barisan selebriti, keluarga terdekat dan sahabat handai untuk mendapatkan pengertian ‘Dari Hati’ daripada perspektif yang berbeza."

Kandungan premium menerusi Astro First tidak ketinggalan membariskan program-program menarik untuk dilanggan iaitu Memori Pajeri Nenas, Syurga Yang Tak Dirindukan 2 dan Dangal. Manakala Astro Best pula turut menawarkan tiga buah program hebat iaitu Beauty & The Beast, The Baby Boss dan Logan.

Menerusi kempen pada tahun ini, pelbagai program menarik telahpun disusun menerusi kesemua rangkaian saluran Astro. Antara koleksi filem terlaris yang bakal menghiburkan para penonton termasuklah Munafik, Kabali, Secret Life Of Pets, Langit Cinta, Diwali, Bajirao Mastani  dan banyak lagi.

Bukan itu sahaja, para penonton juga bakal dihidangkan dengan sajian program muzikal seperti Gegar Vaganza Kirim Salam Raya, Dia Semanis Honey Muzikal, Duo Star Lagenda Raya, Tak Balik Raya Tak Rock, Karokgram dan sebagainya.

Bagi peminat program berbentuk drama dan telefilem Melayu, nantikan barisan rancangan terhebat yang menampilkan pelakon popular tanah air seperti Menantu Malam Raya, Lambor Kanan Belakang Dewan, Jodoh Ayam Tergolek, Selamat Tinggal Aidilfitri dan banyak lagi. Lebih mengujakan, episod akhir drama adaptasi novel, Hero Seorang Cinderella yang kini merupakan drama Melayu nombor 1 di saluran Astro akan turut disiarkan pada minggu pertama Aidilfitri kelak.

Kami juga akan membawakan kembali barisan drama popular bersama hero dan heroin kegemaran ramai dalam bentuk telefilem istimewa khas sempena Raya seperti Suri Hati Mr Pilot Raya, Famili Tuan Ihsan, Abang Bomba I Love You Raya, Sayang Papa Saya Tak Raya serta banyak lagi.

Bagi memberi lebih pilihan kepada para penonton, barisan program bercorak gaya hidup atau hiburan untuk tontonan sesi keluarga juga akan dihidangkan seperti Romantika Raya, Hero Princess Aaisyah, Abang Hot Beraya, Parodi Raya Dulu Raya Sekarang serta banyak lagi.

Manakala barisan program lawak dan komedi yang menggelikan hati juga telah disusun termasuklah  MLM Raya 2017, Konsert Komedi Raya, Sepahtu Reunion Raya, Jozan Raya Sampai Pengsan dan sebagainya.

Lagu ‘Raya Nusantara’ ciptaan komposer terkenal Omar K ini bakal didendangkan oleh tujuh penyanyi terkenal di rantau ini iaitu Siti Nordiana, Ismail Izzani, Kashika, Alvin Chong dari Malaysia, Rizky Febian dan Fatin Shiqdia dari Indonesia serta Sufi Rashid dari Singapura. Manakala video muzik arahan pengarah Ghaz Abu Bakar juga dijangka bakal menampilkan kelainan yang tersendiri kepada para pelanggan.

Bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama Astro untuk tahun ini, pihak Astro Radio menerusi ERA fm, Sinar FM dan THR Gegar juga tidak ketinggalan mengudarakan program-program menarik khusus buat pendengar setia mereka sepanjang musim perayaan.

Untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai pengisian Syawal menerusi Kempen ‘Kosong-Kosong Dari Hati’, sila layari laman sesawang rasmi di www.kosongkosong.com.my

Share this

Related Posts

Latest
Previous
Next Post »